FAJAR AL-KARAMAH

One day, fajar of Islam will shining around the world... Let's do something before it was late...


Hati begitu teruja saat menukilkan kata-kata serta ayat-ayat yang bakal dilakarkan di dalam gerbangan ini. Bukan apa, kini terasa sedikit sayu setelah Ramadhan yang dinanti-nanti selama ini bakal berakhir. Cukup terharu kerana sepanjang bulan yang mulia ini, berapa keratkah rakaat terawih yang telah kita kerjakan? Berapa banyak tabungkah yang telah kita dermakan untuk mereka yang memerlukan? Berapa saatkah kita mampu berzikir mengingati Allah tatkala begitu banyak hidangan yang enak-enak berada di depan mata? Berapa titiskah air mata yang gugur mengenangkan segala dosa yang berlaku sepanjang hidup? Berapa sangatlah kain selimut itu jauh dari tubuh untuk bangun bermunajat berqiyamullail di kala hujan yang lebat di malam hari memberatkan lagi tulang kerangka untuk bangun bersujud? Berapa kali kita membuka, menatap, menghayati bait-bait kata Kalamullah yang kadangkala lagu-lagu raya yang lebih ingin didengar dan di hayati?? Berapa dan berapa banyak lagi persoalan yang boleh ditimbulkan saat Ramadhan ini telah sampai ke kemuncaknya??
Kita lihat realiti yang berlaku kini saban tahun apabila hampirnya Aidilfitri, masyarakat kita sibuk membeli-belah untuk keperluan menyambut Aidilfitri. Ada yang sudah mengedar jemputan rumah terbuka, kenduri kahwin dan sebagainya sepanjang Syawal yang bakal menjelma. Malangnya dan paling menyedihkan apabila saat-saat terakhir Ramadhan ini, surau-surau, madrasah-madrasah, masjid-masjid lengang dari penghuni sedangkan pada 10 malam terakhir ini sepatutnya bertambah penuh saff, bertambah padat ahli jemaah tapi ini semua tidak berlaku. Salah siapakah di sini? Adakah kerana tok imam yang baca surah tak sedap? Kesian la kat tok imam kalau macam tu. Adakah juga kerana suara Tok Bilal yang dah serak melaungkan selawat ke atas rasul dengan sepenuh tenaga?? Tak patut kita salahkan orang itu.. orang ini.. Kita tidak boleh salahkan sesiapa. Cuba kita renungkan kembali. Dalam satu riwayat oleh Ibnu Khuzaimah dari Salamah r.a yang mengatakan bahawa pada setiap akhir bulan Syaaban Rasulullah S.A.W bersabda di hadapan mereka. Di antara kandungan khutbah baginda adalah seperti berikut:

“ Wahai manusia, sesungguhnya kamu akan dinaungi oleh bulan yang senantiasa besar lagi penuh keberkatan, iaitu yang bulan di dalamnya ada suatu malam yang lebih baik dari seribu bulan; bulan yang telah dijadikan Allah sebagai bulan yang diwajibkan puasa padanya, dan beribadah pada waktu malamnya ialah suatu amal tathawwu’ (تطوع ). Barangsiapa mendekatkan dirinya kepada Allah dengan suatu pekerjaan kebajikan di dalamnya samalah dia dengan orang yang mengerjakan fardhu di bulan yang lain. Dan barangsiapa yng menunaikan fardhu di malam bulan Ramadhan, samalah dia dengan orang yang mengerjakan 70 fardhu di bulan yang lain. Ramadhan itu adalah bulan sabar, sedangkan ganjaran sabar itu adalah syurga. Ramadhan itu adalah bulan yang memberikan pertolongan dan bulan Allah menambah rezeki para mukmin di dalamnya. Barangsiapa yang memberi makanan berbuka padanya kepada seseorang yang berpuasa, adalah merupakan pengampunan bagi dosanya dan kemerdekaan dirinya dari neraka. Orang yang memberi makanan berbuka puasa, baginya pahala seperti orang yang mengerjakan puasa itu, tanpa sedikit pun berkurang. “

Betapa Rasulullah telah membicarakan dengan terang perihal keistimewaan Ramadahn itu sendiri. Adakah kita sanggup membiarkan Ramadahn ini berlalu begitu sahaja tanpa mengharap apa-apa?? Kita ekori perjalanan bulan Ramadahan di Negara Palestin contohnya. Saban hari mereka beribadah dalam hujanan peluru dari pihak Yahudi laknatullah. Mereka di halang daripada menunaikan solat terawih di dalam Masjidil Aqsa, namun mereka tetap tegar menunaikan solat terawih di tepi-tepi jalan, tempat parking kenderaan dan di mana sahaja ruangan selagi mana dahi mencecah bumi. Mereka tidak mahu bulan yang mulia ini, bulan yang agung yang penuh kenikmatan ini yang datang sekali shaja dalam setahun berlalu tanpa mengharapkan apa-apa dari Allah S.w.T. Keadaan kita tidak seperit mereka. Suasana kita bukan segenting mereka tetapi mengapa kita masih lagi mensia-siakan peluang yang masih bersisa beberapa hari. Kita boleh hitung berapa harikah lagi Ramadhan yang selama ini dinanti akan pergi?? Mungkinkah ia akan pergi selamanya tanpa kita tidak mempunyai peluang untuk bertemunya lagi selepas ini?

Ayuh sahabat muslimin muslimat! Jangan kita tinggalkan Ramadhan ini tanpa kenikmatan dan pengharapan serta mendapat keampunan dari Allah. Kepergian Ramadhan hendaklah kita lepaskan dengan gembira, walaupun keesokan harinya Hari Raya bakal menjelang. Tetapi kita lepaskan ia dengan perasaan sendu dan syahdu seolah-olah melepaskan pemergian orang yang kita kasihi selama mana kehadirannya menggelut perasaan kita pada kasihnya. Betapa tidak, Ramadhan bulan penuh Rahmah, Barakah, dan Maghfirah. Oleh itu kita lepaskan pemergian Ramadahan itu dengan seindah-indah tahiyyah dan salam. Biarkan ia berlalu pergi nanti dengan kenangan manis kita bersamanya. Seorang penyair Arab bermadah dalam sendunya ketika melepaskan pemergian Ramadhan dengan sebuah syairnya yang bermaksud :
“ Kesejahteraan daripada Ar-Rahman setiap waktu,
Untuk bulan yang paling baik dan masa yang paling indah,
Kesejahteraan ke atas bulan puasa
Kerana puasa itu suatu keamanan dari Yang Maha Pengasih,
Walaupun hari-harimu wahai Ramadhan…
Di bawa cepat oleh arus masa dan putaran zaman,
Namun cinta dan rindu di hatiku tetap bersemi untukmu.”

Begitu agungnya Ramadhan yang bakal pergi dan begitu banyak kesempatan yang dibawanya berlalu. Kita hanya dapat berharap kepada Allah dengan berdoa kepadaNya..
“ Wahai Tuhan kami!
Terimalah ibadah puasa kami
Engakaulah Tuhan Yang Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui!
Terimalah taubat kami!
Sesungguhnya engkau penerima taubat lagi Maha Pengasih!”

Sewajarnya mereka yang telah melaksanakan ibadah Ramadhan dengan sesungguhya bergembira pada hari kemenangan umat Islam, Aidilfitri lagi-lagi saat mereka bertemu Allah S.W.T. Dan seharusnya mereka yang sekadar berpuasa sahaja atau yang tidak berpuasa bersedih sahaja pada hari Raya serta bertemu Allah dalam keadaan yang kerugian serta hina. Kita mahu berada dalam golongan yang mana satu? Fikir-fikirkan sendiri. Selama mana Ramadhan ini masih lagi berbaki, sama-sama kita melipatgandakan usaha untuk meningkatkan amal ibadah dalam mencapai pengampunan serta keredhaanNya dunia dan akhirat kerana kita tidak tahu… SEMPATKAH Ramadhan akan datang menjemput kita lagi..??

Wallahu a’lam.

0 comments: