FAJAR AL-KARAMAH

One day, fajar of Islam will shining around the world... Let's do something before it was late...


Hari-hari yang berlalu
Menghitung perjalanan kita sebagai hamba Tuhan
Sehingga kita terkadang terlupa
Hadirnya bulan keagungan
Bulan keampunan
Bulan kerahmatan
menjelma kembali saban tahun…

Ramadhan..
Semulia namamu jua fadhilatmu
hamba-Mu hadir menyembah sujud
di setiap rakaat tarawih dan tahajjud
Menahan diri dari dosa dan noda
walau sekecil zarah
Mengabdi diri pada erti puasa
membasah lidah pada rantaian zikrullah
menambah nafqah pada nilai sedeqah
melipatganda amalan sebagai bekalan
menghitung perjalanan…

Ramadhan…
Hadirmu sinar harapan
buat hamba yang mendambakan
keredhaan dan kasih-sayang
Pada rahmat lebih dari seribu bulan
Pada damai sebuah malam..
Lailatul Qadar…
Pada syahdu kasih-sayang Tuhan

Ramadhan…
Bulan kerahmatan, bulan keampunan
Terbitnya ceria kemenangan hamba
pada laungan takbir Aidilfitri
Saat pujian dilaungkan pada Rabb
Allahu Akbar!
Hati terdetik…
“ Sempatkah Ramadhan akan datang menjemputku lagi?? “.


Debaran kian kencang tatkala tahun ini Pro Mahasiswa bakal menggoncangkan UM dengan gelombang orennya yang menyebabkan keluh kesah atau ketakutan telah hilang kepada mana-mana orang yang ingin memakai baju oren. Bagi penyokong-penyokong setia PRO-M hari khamis ialah hari yang ditunggu-tunggu.. bukan apa.. Kenapa ye?? Korang kena selalu pergi intai-intai kat bus stop depan library tu kot-kot nya ‘mat-mat oren’ berhimpun nak dengar Speaker Corner. Dan jangan salah anggap Speaker Corner tu demonstrasi. Walaupun yang jadi leadernya adalah orang-orang yang selalu ada masa demonstrasi( ye laa.. sebab mana ada muka lain lagi selain muka sama je yang gi demo). Ia sebagai medan untuk menyatakan pendapat terhadap isu-isu yang bermain di sekitar kampus dan di peringkat nasional. Jangan takut dan bimbang. Kalau nak tahu, speaker corner ni ramai ‘peminat’nya. Hingga pak guard pun berminat dengar. Bukan tu saja, pegawai HEP pun siap ambil gambar kitaorang lagi. Lepas ni glamour la kitaorang tak perlu masuk akhbar pun..
Berbalik pada gelombang oren tadi tu… sejak akhir-akhir ni ramai yang suka warna oren. Setuju tak? Sampai ada yang motosikalnya pun diwarnakan oren. Lagi kalau di kolej lapan mesti adalah dalam seminggu dua tu kami makan buah oren. Ish…ish..ishh.. Tapi jangan setakat warnanya je yang kita kena suka dan menarik, kita sebagai mahasiswa kena tahu apa agenda yang PRO-M bawa ni. Jika dapat risalah oren kami tu… baca-bacalah ya sebab kami tahu risalah kami ni paling special. Mana ada yang buat risalah banyak-banyak berwarna oren selain PRO-M?? Tengok dari jauh pun mengerlip-ngerlip warna oren.. ha.. dah tau dah tu mesti risalah PRO-M.
Apa yang buat saya gembira lagi, bukan setakat local student je yang tahu PRO-M ni.. Student foreigner pun kenal PRO-M ni. Ada kat kolej hari tu masa tengah edar kad raya masa time sahur kat student dari Somalia. Speaking la.. time ni la nak try practise apa kita belajar. Wah! Rupanya diaorang ada yang boleh cakap Malay. Dia tanya kad ni dari mana? Then dia tengok dari PRO –M.. “ Ooo.. PRO-M.” saya pun tanya lah dia. U Know PRO-M? He said “ O..i know that”. Tu je ceritanya just nak gtau. Mungkin sebab dorang-dorang ni kawan dengan budak-budak PRO-M yang selalu ke surau yang turut dicat ala-ala oren. Ada juga yang puji kad raya tu simple tapi menarik dan padan dengan warnanya..
Justeru.. saya sarankan agar baju raya pun carilah yang warna oren ye… hehe.(‘’,). Lastly ,

SELAMAT HARI RAYA MAAF ZAHIR BATIN.
Pantun untuk semua..

Mat gempaq PRO-M pakai samping,
Nak pergi beraya pakai baju Melayu..
Baju warna oren jadi pilihan..
PRO-M bekerja tiada tanding
Tiba mahasiswa menyahut seru…
Salam harapan, salam perubahan .


Hati begitu teruja saat menukilkan kata-kata serta ayat-ayat yang bakal dilakarkan di dalam gerbangan ini. Bukan apa, kini terasa sedikit sayu setelah Ramadhan yang dinanti-nanti selama ini bakal berakhir. Cukup terharu kerana sepanjang bulan yang mulia ini, berapa keratkah rakaat terawih yang telah kita kerjakan? Berapa banyak tabungkah yang telah kita dermakan untuk mereka yang memerlukan? Berapa saatkah kita mampu berzikir mengingati Allah tatkala begitu banyak hidangan yang enak-enak berada di depan mata? Berapa titiskah air mata yang gugur mengenangkan segala dosa yang berlaku sepanjang hidup? Berapa sangatlah kain selimut itu jauh dari tubuh untuk bangun bermunajat berqiyamullail di kala hujan yang lebat di malam hari memberatkan lagi tulang kerangka untuk bangun bersujud? Berapa kali kita membuka, menatap, menghayati bait-bait kata Kalamullah yang kadangkala lagu-lagu raya yang lebih ingin didengar dan di hayati?? Berapa dan berapa banyak lagi persoalan yang boleh ditimbulkan saat Ramadhan ini telah sampai ke kemuncaknya??
Kita lihat realiti yang berlaku kini saban tahun apabila hampirnya Aidilfitri, masyarakat kita sibuk membeli-belah untuk keperluan menyambut Aidilfitri. Ada yang sudah mengedar jemputan rumah terbuka, kenduri kahwin dan sebagainya sepanjang Syawal yang bakal menjelma. Malangnya dan paling menyedihkan apabila saat-saat terakhir Ramadhan ini, surau-surau, madrasah-madrasah, masjid-masjid lengang dari penghuni sedangkan pada 10 malam terakhir ini sepatutnya bertambah penuh saff, bertambah padat ahli jemaah tapi ini semua tidak berlaku. Salah siapakah di sini? Adakah kerana tok imam yang baca surah tak sedap? Kesian la kat tok imam kalau macam tu. Adakah juga kerana suara Tok Bilal yang dah serak melaungkan selawat ke atas rasul dengan sepenuh tenaga?? Tak patut kita salahkan orang itu.. orang ini.. Kita tidak boleh salahkan sesiapa. Cuba kita renungkan kembali. Dalam satu riwayat oleh Ibnu Khuzaimah dari Salamah r.a yang mengatakan bahawa pada setiap akhir bulan Syaaban Rasulullah S.A.W bersabda di hadapan mereka. Di antara kandungan khutbah baginda adalah seperti berikut:

“ Wahai manusia, sesungguhnya kamu akan dinaungi oleh bulan yang senantiasa besar lagi penuh keberkatan, iaitu yang bulan di dalamnya ada suatu malam yang lebih baik dari seribu bulan; bulan yang telah dijadikan Allah sebagai bulan yang diwajibkan puasa padanya, dan beribadah pada waktu malamnya ialah suatu amal tathawwu’ (تطوع ). Barangsiapa mendekatkan dirinya kepada Allah dengan suatu pekerjaan kebajikan di dalamnya samalah dia dengan orang yang mengerjakan fardhu di bulan yang lain. Dan barangsiapa yng menunaikan fardhu di malam bulan Ramadhan, samalah dia dengan orang yang mengerjakan 70 fardhu di bulan yang lain. Ramadhan itu adalah bulan sabar, sedangkan ganjaran sabar itu adalah syurga. Ramadhan itu adalah bulan yang memberikan pertolongan dan bulan Allah menambah rezeki para mukmin di dalamnya. Barangsiapa yang memberi makanan berbuka padanya kepada seseorang yang berpuasa, adalah merupakan pengampunan bagi dosanya dan kemerdekaan dirinya dari neraka. Orang yang memberi makanan berbuka puasa, baginya pahala seperti orang yang mengerjakan puasa itu, tanpa sedikit pun berkurang. “

Betapa Rasulullah telah membicarakan dengan terang perihal keistimewaan Ramadahn itu sendiri. Adakah kita sanggup membiarkan Ramadahn ini berlalu begitu sahaja tanpa mengharap apa-apa?? Kita ekori perjalanan bulan Ramadahan di Negara Palestin contohnya. Saban hari mereka beribadah dalam hujanan peluru dari pihak Yahudi laknatullah. Mereka di halang daripada menunaikan solat terawih di dalam Masjidil Aqsa, namun mereka tetap tegar menunaikan solat terawih di tepi-tepi jalan, tempat parking kenderaan dan di mana sahaja ruangan selagi mana dahi mencecah bumi. Mereka tidak mahu bulan yang mulia ini, bulan yang agung yang penuh kenikmatan ini yang datang sekali shaja dalam setahun berlalu tanpa mengharapkan apa-apa dari Allah S.w.T. Keadaan kita tidak seperit mereka. Suasana kita bukan segenting mereka tetapi mengapa kita masih lagi mensia-siakan peluang yang masih bersisa beberapa hari. Kita boleh hitung berapa harikah lagi Ramadhan yang selama ini dinanti akan pergi?? Mungkinkah ia akan pergi selamanya tanpa kita tidak mempunyai peluang untuk bertemunya lagi selepas ini?

Ayuh sahabat muslimin muslimat! Jangan kita tinggalkan Ramadhan ini tanpa kenikmatan dan pengharapan serta mendapat keampunan dari Allah. Kepergian Ramadhan hendaklah kita lepaskan dengan gembira, walaupun keesokan harinya Hari Raya bakal menjelang. Tetapi kita lepaskan ia dengan perasaan sendu dan syahdu seolah-olah melepaskan pemergian orang yang kita kasihi selama mana kehadirannya menggelut perasaan kita pada kasihnya. Betapa tidak, Ramadhan bulan penuh Rahmah, Barakah, dan Maghfirah. Oleh itu kita lepaskan pemergian Ramadahan itu dengan seindah-indah tahiyyah dan salam. Biarkan ia berlalu pergi nanti dengan kenangan manis kita bersamanya. Seorang penyair Arab bermadah dalam sendunya ketika melepaskan pemergian Ramadhan dengan sebuah syairnya yang bermaksud :
“ Kesejahteraan daripada Ar-Rahman setiap waktu,
Untuk bulan yang paling baik dan masa yang paling indah,
Kesejahteraan ke atas bulan puasa
Kerana puasa itu suatu keamanan dari Yang Maha Pengasih,
Walaupun hari-harimu wahai Ramadhan…
Di bawa cepat oleh arus masa dan putaran zaman,
Namun cinta dan rindu di hatiku tetap bersemi untukmu.”

Begitu agungnya Ramadhan yang bakal pergi dan begitu banyak kesempatan yang dibawanya berlalu. Kita hanya dapat berharap kepada Allah dengan berdoa kepadaNya..
“ Wahai Tuhan kami!
Terimalah ibadah puasa kami
Engakaulah Tuhan Yang Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui!
Terimalah taubat kami!
Sesungguhnya engkau penerima taubat lagi Maha Pengasih!”

Sewajarnya mereka yang telah melaksanakan ibadah Ramadhan dengan sesungguhya bergembira pada hari kemenangan umat Islam, Aidilfitri lagi-lagi saat mereka bertemu Allah S.W.T. Dan seharusnya mereka yang sekadar berpuasa sahaja atau yang tidak berpuasa bersedih sahaja pada hari Raya serta bertemu Allah dalam keadaan yang kerugian serta hina. Kita mahu berada dalam golongan yang mana satu? Fikir-fikirkan sendiri. Selama mana Ramadhan ini masih lagi berbaki, sama-sama kita melipatgandakan usaha untuk meningkatkan amal ibadah dalam mencapai pengampunan serta keredhaanNya dunia dan akhirat kerana kita tidak tahu… SEMPATKAH Ramadhan akan datang menjemput kita lagi..??

Wallahu a’lam.

Hati itu milik Tuhan
kita yang membentuknya
dengan kasih sayang dan pengorbanan
bernafas syahdu dalam rakaat tarawih
berdenyut syukur pada kalam zikrullah..
penuh pengharapan keredhaan dan keampunan

Ramadhan yang bakal pergi
Lalu menjelma pula syawal bahagia
jangan kita lupa
sempatkah lagi menjelma bulan mulia??
MUNGKINKAH INI RAMADHAN TERAKHIR buat kita...???